H.A.R.A.P.A.N... 7 biji huruf yang sedap disebut, tapi belum tentu indah maknanya. Biasanya kita letak harapan untuk sesuatu yang mampu memberikan hasil. Tapi ada orang berani meletak harapan pada sesuatu yang dia sendiri tahu tak mungkin menjadi. Bukan menidakkan ketentuan Tuhan, mungkin nak memujuk hati sendiri.
Akhir-akhir ni aku banyak bermain dengan harapan. Bermain bukan untuk menang, cuma nak cari kekuatan. Kadang-kadang dalam keadaan semua yang kita buat tak berpihak pada kita, kita masih selitkan sedikit harapan tu, moga-moga ada takdir menyebelahi kita.
Tapi harapan kena seiring dengan usaha. Kalau kita harap nak berlari jauh, kena ada sepasang kaki yang kuat. Burung pun kalau nak terbang lebih tinggi dari kebiasaannya, kena ada sepasang sayap yang kuat juga. Tak guna kita harap untuk jadi kaya, kalau mengharap rezeki datang depan mata. Tak ada makna juga kita harap untuk masuk syurga, kalau amalan kita kat dunia ni macam ahli neraka kan? Jadi, balik pada asalnya, harapan tu biarlah sepadan dengan usaha.
Aku nak hidup lama, itu salah satu harapan aku sekarang ni. Bunyi macam tak ingat mati je kan? Aku bukan nak menongkat dunia, tapi ada banyak perkara yang aku perlu selesaikan. Dan sekarang aku rasa masa dah makin pendek, peluang dah makin kecik. Sebab tu lah kalau aku tak mengharap untuk hidup lama, mana lagi aku nak dapatkan kekuatan untuk mengharungi semua ni.
Semua ni mudah sebenarnya kalau aku macam orang lain. Aku tak mampu jadi macam kalian. Aku temukan kekuatan, semangat dan keyakinan menerusi ketakutan dan kesakitan yang dirasai dalam setiap pengalaman yang dilalui. Dan kerana aku yakin, we always have a choice, no matter how tough making it might be, aku memilih untuk terus berharap..
Apa pun yang akan aku lakukan untuk hidup dan masa depan aku, semuanya dah aku putuskan dalam sujud yang panjang. Mungkin jalan yang aku pilih ni nanti sukar, tapi aku yakin ada cahaya juga di hujungnya. Aku tak minta sesiapa pun untuk cuba memahami, sebab ada beberapa perkara dalam hidup kita ni yang tak dapat difahami, tapi hanya dapat dirasai hati. Pinjam sikit kata-kata Shakespeare, "Orang yang sengsara tiada lain ubatnya hanya harapan".
Orang yang paling dekat dengan bahagia, adalah orang yang percaya harapan sentiasa ada..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment