Hari ni tak kerja, dapat la menulis panjang sikit. Lepas hujan berhenti pagi tadi, selesaikan urusan bil-bil, kemudian bawak Mama ke Tesco, beli keperluan dapur. Azamnya nak ke hospital, tapi mengenangkan dah 2 minggu ni sibuk, rasa macam mengabaikan Mama pula, hari ni aku turutkan segala mahunya. Dapat berjemaah, layan makan minumnya, berbual panjang dalam kereta. Mama tegur aku kurang makan sekarang, rambut yang potong masa bulan 3 dulu pun tak panjang-panjang lagi. Aku terdiam. Mujur masa tu Pak Uteh call Mama, perbualan kami habis di situ. Ya Allah, sampai bila harus aku simpan semua ni.. She's not ready for this.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mudah untuk orang mendesak supaya berterus-terang, selesai semua masalah. Mudah juga untuk orang meminta aku ketepikan hal yang lain, utamakan diri sendiri dulu. Kalaulah yang menyuruh itu berada di tempat aku sekarang, pasti mereka takkan mendesak dan meminta lagi. Aku tak boleh buat dia menangis, kesannya nanti bukan untuk sehari dua. Aku yakin aku boleh sembuh, walaupun akhir-akhir ni rasa badan menunjukkan sebaliknya. The only news that I wanted to tell her is that "I'm cured, I'm recovered and I'll be OK".
Waktu aku diberitahu penyakit ni menyerang semula, rasa macam sebiji batu besar jatuh atas kepala aku. Perkara pertama yang datang dalam fikiran ialah mati. Lepas tu baru ingat nak beristighfar banyak-banyak, kena berpijak di bumi nyata. Ini bukan hukuman mati. Kalau doktor positif aku boleh sembuh, kenapa mesti aku menghukum diri sendiri? Lepas sehari baru aku boleh berfikir dengan waras, merancang hidup dengan betul. Dan selepas istikharah selama seminggu, inilah jalan yang aku pilih sekarang. Cantik kerja Tuhan..ada hikmahnya Dia tunjukkan aku jalan yang sukar ini.
Ada waktu-waktunya dalam kesakitan, keyakinan tu goyah. Masa yang sesuai untuk syaitan mempermain-mainkan keimanan manusia. Syukur setiap kali itu jugalah, sentiasa dapat berpaut pada tali Allah. Memang kita wajib mengingati mati. Tapi orang sihat dan orang sakit mengingatinya dengan cara berbeza. Mungkin masa sihat dulu aku kurang bersedia untuk akhirat, sebab aku rasa aku muda, banyak masa. Syukurlah Allah beri peringatan sekarang. Sekurang-kurangnya aku dapat bersedia..
Dan sekarang aku rasa kena mula bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kalau sembuh, things will go well just as I planned. Tapi kalau tak, banyak benda yang aku kena sediakan dan buat dari sekarang. Paling utama, keperluan seorang ibu tua yang bakal aku tinggalkan ni nanti. Kalau ditakdirkan aku mendahuluinya, biarlah pergi dalam keadaan sempurna, supaya dia tak rasa kehilangan. Apa pun yang Allah dah sediakan untuk aku lepas ni, aku redha.
Emosi pulak catatan malam ni. Allah tidak akan memberati seseorang, melainkan apa yang terdaya olehnya. Faith makes all things possible. Aku kena yakin. Kalau kadang-kadang aku lemah, bukan maknanya aku mengalah. Aku sangat-sangat bersyukur pada mereka yang tahu dan faham keadaan aku, sampai aku jadi sangat-sangat malu setiap kali aku terpaksa menyusahkan. Semoga Allah memudahkan perjalanan hidup kalian. Dan semoga masih ada ruang dan peluang untuk aku balas budi baik kalian. Pada Tuhan aku sandarkan harapan..
Monday, 27 June 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment