Pages

Subscribe:

Labels

Friday, 30 September 2011

Nikmat Sihat


Esok, insyaAllah, bawa budak-budak camping di Hulu Langat. Dua hari satu malam. Satu tempoh yang panjang dan mencabar buat orang macam aku. Seronok, tapi bimbang juga kalau-kalau aku akan menyusahkan orang pula nanti, terutama Zila. Harap-harap semuanya berjalan lancar. Dah macam-macam halangan dan dugaan yang kawan-kawan tempuh untuk melaksanakan program ni. Sampai ada yang berbalas kata dan terasa hati. Itulah lumrahnya bila kita bekerja dalam kumpulan. Tak semua orang berfikir macam kita. Tak jadi pula nanti kalau buat sorang-sorang. Apa pun, benda yang boleh dibincang secara berunding, janganlah dibawa menjerit. Isu-isu yang boleh tamat pada masa tu, janganlah pula dipanjang-panjangkan. Bila rasa marah dan tertekan, carilah penyejuknya dalam al-Quran. InsyaAllah, luntur segala keangkuhan bila al-Quran menusuk kalbu. 

Bila fikir pasal camping esok, hati ni cuak sebenarnya. Boleh harap ke aku ni? Masa di universiti dulu bolehlah, masih sihat. Mendaki Nuang, Angsi dan Tahan. Keluar masuk kampung Orang Asli. Menyibuk jadi fasilitator untuk kem-kem motivasi. Kudrat masih ada. Tapi semua tu dah lama aku tinggalkan. Mujurlah pergi ni nanti sebagai guru pengiring je. Yang mana aku boleh buat, aku buat. Yang mana tidak, aku tak akan memaksa diri. Semoga selamatlah semuanya di sana nanti, selamat pergi dan balik.

Dengan keadaan aku sekarang, aku sangat-sangat mensyukuri nikmat sihat yang Allah berikan pada waktu-waktunya. Apa yang biasa dan mudah untuk kawan-kawan lakukan, merupakan satu kesukaran untuk aku. Nak jalan seiring pun terasa lelah. Bukan sebab diorang jalan cepat, tapi aku yang lambat. Tadi cuba-cuba minum Coke dan makan burger sebab teringin, sudahnya merana sakit perut. Masa di Pahang dulu, memandu 3 jam pergi dan 3 jam balik setiap minggu pun tak terasa. Pagi tadi memandu sendiri dari rumah ke sekolah yang tak sampai 15 minit, dah jadi 35 minit buat aku. Terhegeh-hegeh, tapi kena juga beranikan diri, sampai bila nak harap dan susahkan kawan, yang selalu lambat dapat pergi sarapan sebab terpaksa ambil aku dulu. Mudah-mudahan Allah lapangkan sedikit perjalanan hidup aku untuk hari-hari seterusnya. 

Sebab tu aku hairan kenapa orang yang sihat sesuka hati mencari jalan menamatkan riwayat hidup sendiri. Bawa motor, pandu kereta laju-laju. Hisap rokok berkotak-kotak sehari. Bunuh diri (na'uzubillah) bila hilang harapan. Kalaulah kesihatan tu boleh dijual beli..tapi masih boleh dicari. Memanglah kalau kita jaga makan, bersenam dan bersukan bagai nak rak pun, kalau dah nak sakit, sakit juga. Tapi sekurang-kurangnya kita boleh mengelak daripada sakit yang dicari sendiri kan. Mungkin itu silapnya aku. Lepas disahkan bebas kanser kali pertama dulu, lebih-lebih lagi sejak Abah tiada, aku mengabaikan semua tu. Sibuk jaga orang lain, sampai lupa jaga diri sendiri.

Malam ni kena cukup rehat. Harap-harap ubat yang doktor bagi tu berkesan untuk dua hari ni nanti. Buat kawan-kawan yang turut serta, maafkanlah kalau aku tidak membantu dalam kadar yang sepatutnya. Tapi aku akan cuba untuk tidak juga menyusahkan kalian. Berjanji pada diri, kalau yang ini pun aku tak lepas, aku tak akan ikut ke Morib. Thanks for this opportunity and for the big help. I'll try to be fair to all of you before things get worse.  Jumpa lagi, insyaAllah..

   

Thursday, 29 September 2011

Selesakah Hidup Tanpa Harapan?

Superman (Christopher Reeve) pernah cakap, "Once you choose hope, anything's possible". Walaupun kecil, harapan jangan terus dibuang. Aku harap rawatan semalam dapat menyuburkan sikit harapan untukku. Tinggal 3 kali lagi rawatan. Walaupun dah bersedia dengan semua kemungkinan, aku masih berharap tak perlu melalui prosedur yang lebih menyakitkan lagi lepas ni.

Semalam, aku menyaksikan bagaimana bila manusia hilang harapan, tujuan hidup jadi tak menentu. Seorang pesakit minta dihentikan rawatan separuh jalan kerana sebab-sebab yang mungkin hanya dia yang tahu. Sakit? Tuhan sajalah yang tahu betapa sakitnya pengalaman yang kami lalui ni. Bosan? Memang bosan bila badan baru nak rasa selesa sikit, dah sampai appointment seterusnya. Layu balik. Itu yang aku rasa setiap kali nak ke sana. Tapi aku akur rasa itu perlu dilawan. Lawan dengan semangat, doa dan harapan.

Petang tadi aku teringatkan pesakit tadi. "That's it. That's all". Terdengar-dengar lagi kata-katanya semalam. Macam mana dia hari ni? Bolehkah dia bertahan tanpa melakukan apa-apa? Selesakah dia meneruskan hidup tanpa harapan? Aku berdoa janganlah aku mengalah seperti tu, walau seteruk mana pun keadaan aku nanti. Janganlah hendaknya aku berputus asa dengan Tuhan..

Akhirnya, kalaulah nanti takdir tak berpihak pada aku lagi, dan aku juga memilih untuk tidak meneruskan semua ni, itu bukan kerana aku berputus asa. Tapi kerana aku harap dapat pergi dalam keadaan sempurna, sempat berjumpa dan berpesan-pesan dengan wajah-wajah yang bakal aku tinggalkan. Terus berjuang kerana harapan masih ada. Terus berdoa kerana yakin Tuhan tak akan menghampakan permintaan hambaNya. Live my life, make great memories. Allah bersama kita, walau di mana kita berada, dan dalam keadaan apa sekali pun. InsyaAllah..


Bahagia di Depan Mata

Pada mulanya 
Aku tidak mahu memandang wajahmu
Aku juga tidak mahu
Melayan bicaramu
Kerana dalam hatiku pernah berkata:
"Kalau kau pandang wajahnya kini,
Kalau kau layan bicaranya kini,
Pasti kau menyesal nanti".

Tapi hati tak kuasa menahan
Desakan mata
Hati juga gagal menghalang 
Ramah bibir
Untuk melayan bicara
Hari demi hari kita kian mesra
Namun hati bimbang
Kau mungkiri janji

Wajah yang ku pandang
Bicara yang ku layan
Mengundang sesalku datang
Bila tiba saat perpisahan

Monday, 26 September 2011

Thanks for the Memories...

Alhamdulillah, selesai agenda rumah terbuka keluarga aku tahun ni. Penat, tapi aku bahagia. Bahagia dapat kumpulkan wajah-wajah yang aku sayang di depan mata. Terima kasih sahabat-sahabat setia yang merancakkan suasana. Terima kasih sahabat lama di atas pertemuan semula. Terima kasih juga pada wajah yang sangat aku rindu. Ros, kali ni insyaAllah aku akan save semuanya dalam ingatan. Aku tak akan lupakan setiap wajah dan kenangan.

Maafkan segala kekurangan yang ada. Kurang garam dan gula ke, kurang layan dan berbahasa ke, kurang pinggan dan cawan ke, kurang ajar ke..maafkanlah semuanya. Terima kasih kerana buat Mama gembira, sampai dia tak sedar  langsung kesakitan dan derita yang sedang ditanggung anaknya ini. Sekurang-kurangnya suatu hari nanti ada juga perkara yang akan buat dia tersenyum bila mengenangkan semua ni kembali.

Yang paling utama, terima kasih Tuhan, Ya Rahman Ya Rahim, di atas takdirMu yang indah ini. Aku bersyukur di atas nikmat rezeki dan kesihatan yang Kau berikan padaku dan keluargaku. Jadikanlah aku hambaMu yang kekal syukur dan rendah hati. Berilah aku peluang untuk mengumpul bahagia sebelum nafas terhenti. Apa pun takdir yang telah Kau tetapkan untuk aku selepas ini, aku terima dengan redha dan sabar.

Asyik dengar lagu ni je hari ni, jadi suka pulak..
    

Friday, 23 September 2011

Cerita Dua Hari

Macam-macam hidup ni. Dalam sehari, Allah boleh menunjukkan kasih sayangNya dan juga menguji kita dalam pelbagai rupa dan cara. Kerana Dia Maha Berkuasa, menentukan sesuatu di luar perancangan kita. Semalam hari yang sangat meletihkan dan menyesakkan dada. Alhamdulillah, jamuan Hari Raya di sekolah berjalan dengan baik. Thank you for the big help, Ros. Kalau tak ada kau, macam kapal pecah la kelas aku jadinya. Syukur jugalah kesihatan mengizinkan. Thanks for the double dose, doc. Kalau tak, memang tak mampu nak buat apa-apa semalam. Terpaksa ambil risiko tinggi yang tak boleh diamalkan selalu.

Balik dari sekolah, ingatnya dapatlah lelapkan mata sekejap. Rupa-rupanya ujian Tuhan sedia menanti. Adik pulak jatuh motor kat Jalan Tun Razak. Mujur tak patah, tapi ngilu jugalah tengok lengannya yang dah bengkak dan luka teruk tu. Terkejut jangan cakaplah, kering kejap rasanya darah ni tengok dia balik dalam keadaan begitu. Marah bukan sebab dia jatuh. Itu dah memang ditakdirkan. Kadang-kadang bila kita berhati-hati pun, kemalangan juga.  Syukur dapat elak malang yang lebih besar.

Yang aku paling takut bila tengok Mama terduduk menangis semahu-mahunya. Confirm darah dia naik tinggi. Tapi alhamdulillah dia makin ok bila geng surau dia datang melawat. Penat la kami nak repeat cerita setiap kali orang yang datang bertanya kronologi peristiwa. Apa pun, terima kasih atas keprihatinan dan doa semua. Lalu sepanjang malam tadi aku berfikir, macam mana la pula keadaan Mama kalau diberitahu keadaan aku nanti. Takut bila membayangkan bagaimana reaksinya. Aku harap Mama cukup kuat bila sampai waktunya untuk dia tahu keadaan sebenar aku.

Hari ni pula, aku dapat tunaikan satu lagi janji. Hadiah konvo untuk Ros. Terkilan sikit sebab tak sama macam yang dia nak. Semoga 'Miss Sara' hidup bahagia dengan tuan barunya. Seronok tengok orang belajar dan habis belajar. Alangkah bagusnya kalau aku dapat lalui pengalaman serupa sekali lagi. Wahai diri, cepatlah sembuh, kerana pencinta ilmu ini sangat ingin belajar lagi. InsyaAllah, 'man jadda wajada'...

Esok, persediaan untuk agenda hujung minggu ni akan bermula. Harap semuanya berjalan lancar. Mudah-mudahan Allah beri aku kekuatan dan kesihatan untuk menunaikan hajat Mama ini. Ringankanlah sedikit ujianMu untukku, ya Allah. Berilah sedikit ruang-ruang bahagia dalam menghadapi ujianMu. Amin..  

Wednesday, 21 September 2011

Buka Sikit Jendela Hatimu..

 

I am a very reserved person. Since Abah passed away, I prefer to keep my private life a secret. Cuma kebelakangan ni baru berani dan terbuka berkongsi apa yang aku rasa. Sejak ada blog inilah baru rasa selesa untuk membuka sikit jendela hati. Tapi tetap berbatas. Cuma kawan-kawan rapat yang tahu kewujudan ruangan ni. Dan aku harap kekal begitu. Anyway, 'Salam Ukhuwah' to any other silent readers who care to visit or accidently blogwalking and found this blog.  

Tergerak hati bercakap tentang ni sebab baru selesai menjawab questionnaire yang dihantar support group aku melalui e-mail. Support group for AML..very helpful. Share for the brave, itu yang selalu diingatkan kepada kami. Banyak soalannya, rasa macam jawab periksa pulak. Aku share beberapa soalan tu di sini dengan jawapan yang tulus dari hati..

What were your first thoughts when diagnosed?

"Why me?"
That was my first thought. My second thought was about where my life was going to journey as I was presented (again!) with a diagnosis of a life-threatening illness. It's a relapse and you can't expect much. "Miracle doesn't happen twice," that's how I felt when the news was presented to me last year.

How did your family react?

At that time, only my Pak Ngah and my brother knew about the relapse. Well, their reactions were predictable. They were shocked. We all were. Some time later, I decided to tell my sister and my youngest brother. We sat together and we cried a lot. They had the same thought as I did, to just do what they have to do to help me get through it.

How did your friends react? 

I was struggling to find the right time and the perfect words to tell them. Well, for their internal reactions, you have to ask them. They were amazingly supportive. I hope that things remain the same, though sometimes I was treated differently (in a special way) and that didn't make me feel very good at all. I can see how cancer has influenced most every relationship I have. My family, my friends, my 'sarang hae'.. I don't need someone who have experienced the same illness to say, "Yes, I understand how you feel." I think that a friend who wants to understand is enough to make the difference for me. My friendship with them is one of the greatest blessings I have ever received.

How is life different for you now? 

Well, all the cliches are true..I appreciate every day I have. I don't take life for granted as I know for people like me, death is just a matter of time. I love more things more. Cancer may suck, but it's a blessing above all. It takes a great effort to find the good things in something that we have long thought of as bad. But I believe there are good things in these challenges.

What is/was the toughest part of your challenge?

Not being able to tell my mom about this. 

What is/was the best part of your challenge?

I learned the things that actually meant the most to me in my life. 

Hmm..banyak lagi soalan yang buat aku berfikir dalam-dalam sebelum menjawabnya. Jawapan yang sebenarnya telah dapat mengurangkan beban di hati. Itu tujuan soalan-soalan ni diberi kepada kami agaknya. Semoga keadaan akan jadi lebih baik selepas ni. Percaya pada takdir..cantik kerja Tuhan.


 

Monday, 19 September 2011

Hope Matters...

Entry hari ni adalah perkongsian ilmu tentang pemindahan sum-sum tulang (BMT) yang aku terima melalui e-mail hari ni. Harap-harap aku tak perlu melalui proses menyakitkan ni nanti.

Sum-sum tulang (bone marrow) tu apa?

Sum-sum tulang adalah tisu yang ada di dalam tulang. Sum-sum tulang inilah yang menghasilkan bahagian-bahagian darah termasuk:
  • Sel darah putih - untuk menentang penyakit
  • Sel darah merah - untuk mengangkut oksigen
  • Platelet - untuk pembekuan darah (menghalang pendarahan)
Pemindahan sum-sum tulang tu ada berapa jenis?
  1. Pemindahan sum-sum tulang allogeneic - pemindahan sum-sum daripada penderma kepada pesakit. Penderma biasanya adik-beradik pesakit sebab jenis tisunya sama.
  2. Pemindahan sum-sum tulang autologous - sum-sum tulang pesakit diambil terlebih dahulu dan disimpan, dan diberikan semula kepada pesakit kemudiannya.

Syarat kelayakan menerima pemindahan sum-sum tulang (hmm..macam nak mintak kerja pulak!):
  • Umur - makin meningkat umur, makin banyak risiko pemindahan kerana meningkatnya kemungkinan komplikasi. Kalau kat Malaysia, had umur tertinggi untuk menjalani pemindahan ni adalah sekitar 40 tahun.
  • Kesesuaian penyakit - BMT bukannya sesuai untuk semua jenis penyakit darah. Sangat berjaya untuk penyakit Acute Myeloid Leukemia (AML) dan Chronic Myeloid Leukemia (CML) peringkat awal. 
  • Kesesuaian penderma - BMT allogeneic memerlukan penderma yang mempunyai tisu yang serupa dengan pesakit. Tiada had umur untuk penderma.
Bagaimana tisu dijeniskan?

Melalui ujian darah, atau lebih tepat lagi 'HLA Typing'. Pilihan penderma yang bersesuaian biasanya daripada adik-beradik pesakit. Peluang untuk dapat tisu yang sesuai hanya 1 dalam 4 peluang. Peluang kesesuaian daripada ahli keluarga lain (ibu bapa dan anak-anak) pula adalah sangat rendah (lebih kurang 1 dalam 100 peluang).

Masalah/komplikasi yang mungkin timbul berkaitan pemindahan sum-sum tulang:
  1. Kemandulan - ketidakupayaan pesakit untuk mendapat anak adalah kesan sampingan daripada pemindahan sum-sum tulang.
  2. Perubahan kulit dan keguguran rambut - bersifat sementara.
  3. Mucositis - semasa proses pemindahan, semua pesakit akan mengalami sakit mulut disebabkan kesan kemoterapi dan ia juga untuk tempoh sementara. Pada masa ini pesakit tak boleh makan dan bergantung kepada saluran intravene untuk zat-zat makanan.
  4. Graft vs Host disease - komplikasi berpunca daripada tindak balas sel-sel imun penderma terhadap pesakit. Boleh menyebabkan ruam, radang hati dan usus. Boleh dirawat dengan ubat.
  5. Jangkitan (infections) - Pesakit akan mengalami risiko tinggi untuk mendapat jangkitan semasa dan selepas pemindahan. Akan diberi antibiotik dan penjagaan teliti selama lebih kurang setahun. 
Apakah yang akan dialami oleh pesakit semasa rawatan?
  • Pesakit akan dirawat di hospital selama sebulan, lepas tu kena datang 3 kali seminggu untuk rawatan rapi seterusnya selama 2 bulan. 
  • Masa kat hospital, sejenis alat khas yang dipanggil "Hickman catheter" dipasang melalui pembedahan kecil. Tujuannya untuk beri pesakit cecair, kemoterapi, transfusi darah dan juga zat-zat makanan terus ke darah.
  • Seterusnya pesakit akan menerima 'conditioning chemotherapy', iaitu persediaan bagi sum-sum tulang untuk menerima sum-sum tulang baru. Kesan sampingannya termasuk muntah, cirit-birit dan pendarahan dari pundi kencing.
  • Sum-sum yang diambil kemudian dipindahkan kepada pesakit. Blood count pesakit akan jadi rendah untuk tempoh 2-3 minggu sebelum sum-sum tulang baru berfungsi. 
  • Pesakit dikehendaki mengambil ubat tertentu selama setahun.
Apakah yang akan dialami oleh penderma?
  • Tiada kesan sampingan, cuma penderma akan rasa sakit di bahagian tulang pelvis untuk beberapa hari selepas pembedahan. 
  • Kebiasannya penderma akan tinggal di hospital untuk tempoh 3 hari sahaja.
  • Kadang-kadang penderma dan keluarga akan diminta untuk menderma platelet untuk beberapa minggu selepas pembedahan.
To all AML fighters out there, harapan untuk orang seperti kita biasanya macam yo-yo. Selalu naik dan turun. Berdoalah semoga harapan tu tak hilang terus. Hope matters. Sahabat-sahabat aku yang hebat selalu mengingatkan aku bahawa harapan sentiasa ada. Maka carilah harapan itu, walaupun ada waktu-waktunya mencari harapan untuk meneruskan hidup terasa seperti mencari sebatang jarum yang jatuh ke dalam perigi.

Cari Tuhan, di situ kita akan bertemu ketenangan...

Cari harapan, di situ mungkin kita akan bertemu bahagia...

Have faith, there is hope...

Sunday, 18 September 2011

Apa Yang Penting Dalam Hidupmu?


Tiga hari di Melaka. Walaupun dah selalu balik, tapi kepulangan kali ni terasa sikit berbeza. Dapat berbual panjang dengan sepupu Mama yang aku panggil Pak Andak, satu pengalaman berharga.
  1. What is important to you?
  2. Hidup sederhana tapi bermakna.
Dua nasihat Pak Andak yang sangat berguna. Dizahirkannya melalui perbuatan. Selama ni perbualan kami dibatasi keriuhan saudara-mara bila berkumpul. Tapi dua hari ni, bersungguh-sungguh Pak Andak mencari aku waktu sarapan, mengajak aku duduk di sisinya bila saja ada kesempatan. Maka, berbuallah kami tentang kehidupan, tentang apa yang berlaku di depan mata. Hmm.."Ijazah terbaik datangnya dari jalanan, dari pengalaman, bercakap dan bersalaman".

Matahari terbenam di Pantai Umbai

Tiga hari yang meletihkan di Melaka, demam juga sudahnya ni. Harap-harap bangun esok eloklah. Hujung minggu nanti ada satu lagi agenda yang memenatkan. Kena cepat-cepat sihat. Ini yang penting dalam hidup aku sekarang-sembuh dan sihat. Berulang kali Pak Andak pesan supaya senaraikan 'top priorities' aku dan tunaikan satu persatu. I'm trying my very best and praying very hard, Pak Andak. Kalaulah dia tahu yang aku dah pun mula senaraikan semua tu dalam wish list aku (Before I Die)..

Kepala makin berat, badan makin sakit, mata makin layu. Harapnya esok lusa dapat update lagi blog ni. Semoga kawan-kawan yang balik dari Sabah hari ni juga dapat rehat secukupnya. Sekian dulu. Sebelum habis entry ni, cuba-cubalah tanyakan diri, "Apa yang penting dalam hidupmu?"

Candy Chang's Wish list

Thursday, 15 September 2011

Ada Apa Dengan Cinta?


Jiwang gila tajuk post kali ni. Kerana seseorang, bertalu-talu dan bertubi-tubi aku kena 'brainwashed' 2-3 hari ni. Nampak sangat silapnya daripada aku bila semua orang berpihak padanya. Banyak sangat bermain dengan harapan, bercakap tentang peluang, bicara tentang bahagia..sampai aku jadi takut sekarang untuk berfikir tentang masa depan. 'Masa depan kita'...

Harapan aku sama macam orang lain. Nak bahagia, nak disayangi, nak memiliki. Tapi kadang-kadang keadaan kita membataskan semua impian. Mungkin bunyinya ni macam terlalu pentingkan diri sendiri, tapi aku kena fokus pada keadaan aku sekarang. Aku kena berusaha hidup, sebab kalau aku mati sekarang, hilang teruslah harapan aku untuk bersama seseorang tu.

Aku selalu berdoa sejak aku melepaskan seseorang, dia akan bertemu bahagia dan sesuatu yang lebih baik untuknya. Tapi kalau sampai ke saat ni dia masih yakin bahagia dia tetap dengan aku, maka hari ni aku meminta agar seseorang tu boleh menunggu untuk sedikit masa lagi. Sekurang-kurangnya sampai aku betul-betul pasti yang aku boleh sembuh. Dan aku sangat berharap dia juga dapat meyakinkan seseorang untuk merestui masa depan kami. Kalau cuma keadaan kesihatan aku yang menjadi penghalang, aku tak akan sekeras hati begini. Tapi ini juga melibatkan restu orang tua, dan aku tak nak teruskan semua ni tanpa restu darinya.

Buat sahabat yang akan ke Sabah esok (semoga selamat semuanya), aku akan beri diri aku peluang. Aku akan beri dia sikit harapan. Harap ni boleh jadi berita baik yang kau nak dari aku bila balik dari Sabah nanti. Sepatutnya sekarang kita bercakap tentang prospek kau kan, bukan pasal pilihan aku. Apa pun, terima kasih nasihat tu semua. Kalau aku sihat lepas ni, cerahlah masa depan. Tapi kalau keadaan tak mengizinkan, janganlah bangkitkan lagi soal ni. Aku tak nak tambah satu lagi wajah sedih yang harus aku pandang bila sampai masa aku nanti.   


"Pada Tuhan kita sandarkan harapan.."

Wednesday, 14 September 2011

A Walk To Remember


Alhamdulillah, hari ni ok sikit, walaupun masih bergantung sepenuhnya pada ubat tahan sakit. Dapatlah sama-sama siapkan bahan untuk Panel Board. Sikit je yang aku buat pun, selebihnya kawan-kawan yang siapkan. Sambil-sambil bercerita tentang 'masa depan kita', pilihan yang aku ada lepas rawatan, sambil dengar pengalaman masa kecik Ros dan Nad yang 'adventurous'. Sayangnya aku tak berpeluang rasa semua tu. Zaman kanak-kanak aku biasa-biasa je. Malu nak cerita kat orang..membosankan. Macam mana agaknya kalau aku berkawan dengan diorang sejak kecik kan, mesti happening hidup aku masa tu. Mesti aku pun kena kejar dan kena libas sekali. Seronoknya..

Jauh sikit berjalan hari ni. Gembira walaupun tak buat apa, enjoying every moment I have with my friends. Terasa juga lelahnya, walaupun tak memandu. Balik rumah tadi, cuba-cuba juga panaskan kereta, drive sampai Petronas. Hmm, tak boleh lagi memandu nampaknya..tak terasa sangat kaki ni nak menekan pedal, sakit kepala pun tak hilang lagi.

Petang tadi kat HBO ada cerita yang aku suka, A Walk To Remember. Sweet and inspiring. Bagus juga tengok balik cerita tu dalam waktu-waktu begini. Mungkin ada betulnya kata Kak Maliana pagi tadi, aku tak berlaku adil pada seseorang. Maaf, kak..itu je pilihan yang saya rasa betul buat masa ni.

Landon : I'm sorry she never got her miracle.
Jamie's father : She did. It was you..

Siapa kita pada seseorang tu boleh membawa perubahan pada dia. Aku harap siapa aku pada seseorang juga dapat membawa perubahan yang baik kepada orang tu. Maybe my good isn't good enough. Walaupun tak cukup baik sebagai seorang anak, kakak, kawan, kekasih (ceh..dalam hati ada taman!)..tapi bolehlah kan, tak adalah teruk sangat kot.. Tapi lately selalu sangat buat orang lain susah. And I'm not happy with that.


Tuesday, 13 September 2011

4 Kali Lagi...

"You will never know how strong you are until being strong is the only choice you have left."

Empat kali lagi. Empat kali je lagi nak habis chemo. Sabarlah diri, tabahkanlah hati. Turutkan sakit, rasa nak lari je jauh-jauh. Ikutkan badan, rasa nak putus asa je. Tapi tu bukan cara orang beriman menghadapi ujian. Aku mengeluh susah dan tak lalu makan, ada orang tak mampu langsung menjamah makanan. Aku menangis sakit dan bisa badan, ada orang yang dah tak mampu langsung nak gerakkan badan. Seharusnya aku jadi hamba yang lebih bersyukur. Empat kali je lagi, sabarlah...

Minggu ni adalah minggu yang sangat menyakitkan. Jarak rawatan yang dekat buat aku rasa macam nak mati, 4 jam sekali telan ubat tahan sakit. Mujurlah minggu ni UPSR, budak-budak tak datang sekolah. Kalau tidak mahu tumbang rasanya aku. Mama dah makin kerap bertanya kenapa. Ya Allah, berilah aku sedikit lagi masa untuk bersedia sebelum aku ceritakan semuanya pada Mama. Harap-harap keseronokan balik Melaka dan persediaan rumah terbuka dapat melupakan Mama sekejap daripada terus bertanya kenapa aku tak secergas dulu. Hope things will get better tomorrow..


"Cinta kita cinta mati..."

Sunday, 11 September 2011

Kalaulah Kalian di Tempat Aku..


My current medication:
  • Cytarabine, i.e anti-metabolites (10min-2 hours infusion)
  • Daunorubicin, i.e anti-tumour antibiotic (10min-1 hour infusion)
  • Idarubicin, untuk bunuh sel-sel kanser (10mg)
  • Vincristine injection- perlahankan tahap merebaknya sel-sel kanser
  • Decadron-steroid untuk tahan sakit (10mg)
  • Zoferan- untuk 2 hari pertama lepas chemo (10mg)
  • Benadryl & Nystatin-pil dan ubat kumur untuk ulser mulut akibat chemo
  • Magnesium citrate- untuk masalah sembelit akibat chemo
  • Lomotil-for diarrhea
  • Zantac- untuk ulcer di perut akibat chemo (150mg/1gelas air)
  • Plus 3 more anti-sickness drugs if Decadron doesn't work
My current supplements:
  • Instant Nutritious Cereal Drink-Spirulina (for breakfast)
  • Pati jus Acai Berry (20mg/2botol sehari)
  • Pil susu kuda liar-Niemans Feramilch (4biji)
  • Omega 3 fish oil (3biji)
Dengan jumlah ubat sebanyak tu, badan aku terpaksa bekerja lebih masa untuk melawan sakit tu sendiri  dan kesan sampingan rawatan. Supplement cuma mampu memberi aku tenaga untuk bertahan separuh hari. Selebihnya bergantung pada ubat tahan sakit. Akhir-akhir ni ramai insan yang prihatin dengan keadaan aku mencadangkan aku untuk mencuba macam-macam supplement. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak. Tapi aku pohon, berilah peluang untuk aku cuba dan habiskan satu persatu. Kalau semuanya diambil serentak, kita tak tahu yang mana satu lebih berkesan. Kadang-kadang tertekan juga bila selalu sangat didesak, seolah-olah mereka pula yang sedang bertarung dengan masa.

Maafkan aku. Ikutkan hati, apa saja dan ke mana saja yang orang cadangkan untuk aku cuba, aku akan usahakan. Tapi doktor-doktor yang merawat aku menegaskan, I can try them after I have completed my chemo. Sebabnya, semua supplement dan multivitamin yang dicadangkan mengandungi dos antioxidant yang tinggi, yang walaupun berkesan melawan kanser dan melindungi sel-sel sihat, tapi dalam masa yang sama akan mengganggu keberkesanan rawatan yang sedang aku lalui sekarang. Itu jugalah nasihat doktor kepada Abah sewaktu Abah dalam rawatan chemo dan radioterapi dulu.

Makanan Sihat vs Makanan Tambahan
"Get vitamins in food, not capsules." Itu pesan dietitian aku.
"Eat whatever you want to eat, if it appeals to you and doesn't harm you." Itu pesan doktor yang merawat aku.
Masalahnya bagi orang seperti aku, selera makan yang hilang, perut yang semakin sensitif, ditambah dengan ulcer yang penuh di mulut sampai ke tekak menyebabkan sukar untuk menelan  makanan dan tak boleh tersilap makan sikit. Bila difikirkan semula, ubat yang aku ambil setiap hari lebih banyak dari jumlah makanan yang masuk ke perut aku hari-hari. Kadang-kadang tekak teringin sangat nak makan sesuatu, tapi tak mampu menikmati sepenuhnya..Bosan!


Chemotherapy and a good diet
Sounds like a difficult combination for people like me. Bau makanan pun kadang-kadang dah cukup memualkan. Sebagai alternatif, inilah cadangan dietitian aku yang sempat aku catat dan ingat. Untuk aku cuba, supaya tak mati kelaparan..
  1. Cubalah makan, kerana makanan seimbang penting untuk kalori setiap hari. Kalau tak lalu juga, sekurang-kurangnya jangan miss supplement drink yang dibekalkan untuk setiap pagi.
  2. Ambil makanan berprotein sebab protein penting untuk rawat, repair dan kuatkan immune system. Kalau hilang selera atau tak boleh hadam makanan keras macam daging dan tak lalu pula makan ikan, cari sumber protein lain yang lembut macam cheese, milkshakes dan yogurt. Ice-cream pun boleh.
  3. Ambil sayur dan buah yang banyak untuk sumber vitamin. Tapi kena basuh bersih-bersih, buang kulitnya. Maka fridge aku di rumah sentiasa penuh dengan benda-benda tu sekarang. 
  4. Don't lose out on liquids. Rawatan kanser, terutama ubat chemo yang panas menyebabkan dehydration (hilang air dalam badan). Ubat yang kuat tu juga menyebabkan buah pinggang terpaksa bekerja keras. So, banyakkan minum sports drinks (100 Plus, Gatorade) dan jus buah, selain air masak secukupnya. Tapi dalam waktu sekarang, air masak tu pun kadang-kadang rasa pelik kat tekak. So, dicadangkan untuk cuba sup.
  5. Take soft food only. Elakkan juga makanan pedas dan berempah yang akan mengganggu perut.
  6. Dan lain-lain..yang aku malas nak ingat dah. Banyak sangat cadangan, makannya tak juga. 
Oleh itu, aku sangat berharap insan-insan yang prihatin tadi dapat memahami keadaan aku sekarang. Kalau ada cadangan yang tak dapat aku terima, bukan kerana aku berputus asa. InsyaAllah, selesai rawatan, aku akan cuba. Mudah-mudahan ada di antaranya yang serasi dan mujarab untuk aku. Lagipun, terlalu banyak ubat pelik di rumah nanti akan menimbulkan pertanyaan pula di hati Mama. 

Terima kasih kerana tak putus-putus memberi sokongan. Beberapa minggu kebelakangan ni mungkin aku sedikit 'down', sampai nampak seperti aku sudah berputus asa. InsyaAllah, sehari dua ni aku cari dan aku temukan semangat yang hilang tu. Jumpalah sikit, walaupun belum sepenuhnya. Mudah-mudahan Allah permudahkan..amin.

Saturday, 10 September 2011

The Battle Continues..



Yesterday's blood count:
White blood count (WBC) 2.19*
Red blood count (RBC) 4.31
Haemoglobin (HGB) 14.0
Platelet (PLT) 27*
*Lowest white blood and PLT count on record

The infusion went well. I had a long serious discussion with my oncologist yesterday. I must confess that I am a bit disappointed and scared. Tiba-tiba rasa harapan makin kecik. E-mail panjang daripada therapist aku tentang relaxation dan stress management malam tadi belum cukup mengurangkan kerisauan. "Cari Tuhan, di situ awak akan jumpa ketenangan"..SMS seseorang subuh tadi mengajak aku mengumpul kekuatan untuk mencari semangat yang hilang. Terima kasih. And thanks to Ros for helping me to get a short rest today.

I guess at the end of the day, all I can do is hope that this pain will not get worse. Hope that all these are worth trying for. Hope that my cancer is treatable and doesn't come back for a very long period of time. Hope that I won't cause anymore troubles to all the people I love and care. Just hope.

Rintihan - Hijjaz

Thursday, 8 September 2011

Maafkan Aku..


Hari ni aku emosi. Hari ni aku melampaui batas. Hari ni aku buat perangai bodoh, marah orang tak tentu pasal. To make it worse, melepaskan marah kepada orang yang tak sepatutnya. Sahabat-sahabat yang sangat baik dan selalu tolong aku. Sungguh, kalaulah mereka terbaca post ni, aku harap kalian tahu betapa aku rasa bersalah sangat-sangat dengan perangai bodoh, mengada-ngada dan tak masuk akal aku tadi.

Aku pun tak tahu kenapa aku perlu rasa kecik hati dengan diorang tadi. Tak ada salahnya pun kata-kata mereka. Lepas solat tadi aku muhasabah diri. Yang salah cuma aku. Entah kenapa la cepat sangat nak terasa hati dengan orang 2-3 hari ni. Kat rumah pun begitu. Banyak benda yang tengah bermain dalam kepala, banyak hati yang perlu dijaga, banyak hal yang perlu ditimbang dan memerlukan aku membuat keputusan segera. My body literally can't handle the stress. Aku tak nak jadikan sakit dan ubat sebagai alasan, walaupun itu antara faktor penyumbang, kerana semuanya berbalik kepada aku juga. Sedarlah diri, orang lain pun sakit juga, orang lain lagi besar masalah hidupnya.

Aku patut bersyukur, dan memang sangat-sangat bersyukur dikelilingi sahabat-sahabat yang sangat memahami. Aku harap perangai buruk aku hari ni tak dianggap sebagai mengambil kesempatan kerana keadaan diri aku dan di atas kebaikan orang pada aku. Maafkanlah aku yang kadang-kadang tergelincir lidah dan terlepas laku kerana turutkan emosi. 

Esok dah mula rawatan. Tu pun satu hal juga. Aku lebih selesa dan suka melalui prosedur tu sendirian. Aku rasa lebih kuat kalau aku tak tengok wajah-wajah yang aku kenal sepanjang masa rawatan tu, mendengar lawak tak kelakar mereka untuk buat aku lupakan kesakitan dan melihat mereka tertidur di luar sementara menunggu aku. Sebab semua tu hanya akan buat aku lebih sedih. Sedih tengok mereka dan sedih dengan diri aku sendiri. InsyaAllah, aku masih punya ketabahan untuk menempuhi kesakitan tu sendirian. Tapi, sampai masa nanti ketabahan tu hilang, aku akan sentiasa perlukan kekuatan genggaman tangan kalian untuk menghadapinya.

Akhirnya, buat Ros dan Zila yang aku sakiti hari ni, maafkan aku. Aku cuba tak mengulangi perangai bodoh aku tu lagi. Berfikir secara waras, dengan iman yang ada. Kalian sangat banyak membantu sampai aku jadi malu dan mulut terasa berat untuk meminta apa-apa lagi. Aku doakan sahabat-sahabatku sentiasa dalam perlindungan Allah, diberi nikmat sihat untuk bekerja dan beribadah, mencari dunia dan akhirat. You never know what kind of difference a little encouragement can make to a person.  Forgive me body and soul.

Biarlah Rahsia - Siti Nurhaliza

Monday, 5 September 2011

Jumpa Lagi Kita...


Hari pertama sekolah. Hari mula kerja. Alhamdulillah, dapat jumpa kawan-kawan dalam keadaan sihat dan gembira. Banyak cerita menarik yang dikongsi. Cerita-cerita yang buat aku tersenyum, ketawa dan tumpang bahagia mendengarnya. Juga anak-anak aku kat sekolah tu yang bersungguh-sungguh bercerita kisah raya mereka. Syukurlah mereka juga kembali ke sekolah dalam keadaan sihat dan sempurna (tak hilang jari kerana mercun).

Hari ni pula di Singapura baru mula cuti sekolah seminggu. Maka dengan tangan terbuka aku menyambut keluarga Pak Andak dan Pak Uteh petang tadi. Riuhlah rumah sehari dua ni. Balik tadi sepupu-sepupu kecik dah berebut nak tidur dengan aku malam ni. Sabar ye, anak-anak..bagi Along siapkan lesson plan dulu. Letih juga rasanya ni. Tapi sempat juga tadi buat 'aktiviti luar sekolah' macam biasa dengan Ros. Terima kasih banyak-banyak layan aku..kesian kau penat. Malam ni sambung pula nampaknya 'borak-borak sambil minum kopi' dengan pakcik-pakcik aku. Tak mengapalah, asal Mama gembira. Kesian, tak puas beraya dengan adik-beradiknya hari tu. Mudah-mudahan aku sihat selama mereka di sini.


Tengahari tadi Ms. Tan telefon, mengingatkan aku tentang appointment rawatan minggu ni. Berulang-kali juga mengingatkan aku akan pesan doktor supaya jangan penatkan diri, jangan memandu dan elakkan pergi ke rumah terbuka. Tapi kalau dah aku sendiri yang kena jadi tuan rumah 'open house' nanti (jadi bibik je kot, tuan rumah merangkap 'pengacara majlis'nya mestilah Mama), takkan la aku kena berkurung dalam bilik sorang-sorang, jawab salam dari balik langsir je kan? Hmm..kena duduk bincang balik dengan adik-adik ni.


Sarang-hae..

Hari ni juga banyak bicara soal jodoh dengan seseorang. Aku lupakan cerita cinta sendiri. Semoga sahabatku itu bertemu jodoh terbaik yang telah dijanjikan Allah untuk setiap perempuan yang baik. Teringat Abah pernah cakap, hati seorang perempuan yang baik tu ada pada Tuhan. So a good guy needs to seek God in order to find her. Doa adalah lagu hati kita, sahabatku. Try your best, and let Allah do the rest.


Sampai di sini dulu cerita aku kerana ada cerita lain menunggu di ruang tamu. Pakcik-pakcik dah mula mintak kopi, tandanya nak berbual sampai awal pagi. Ya ampun..jadi Batman lagi aku malam ni..

Sunday, 4 September 2011

Belasungkawa (1)


Hari ni ayah kepada Yan, kawan sekolah menengah aku dulu dijemput pulang oleh Penciptanya. Dari Dia kita datang, kepadaNya kita kembali. Terkejut juga sebab baru Jumaat lepas menziarahi Allahyarham di hospital. Pergi dalam koma. Pergi tanpa pesan. Semoga Yan dan keluarga tabah dengan ujian. Sehari sebelum raya pun seorang cikgu kat sekolah aku kehilangan ayah tercinta. Dan hari ini juga seluruh negara menyaksikan perjalanan terakhir jurukamera BERNAMA yang terkorban di Somalia, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor.


Di saat kita masih bergembira dalam mood raya, banyak hati yang menanggung lara kehilangan insan tercinta. Ketika kita sibuk berkira-kira juadah apa nak dihidang masa rumah terbuka, ada insan yang telah terputus rezekinya. Waktu kita terkial-kial tanda di kalendar banyak hari yang tertinggal puasa untuk diganti, ada insan yang telah terputus terus semua amalannya.

Balik dari menziarah tadi, dalam kereta kawan aku bertanya, "Kalaulah kau diberi pilihan, kau nak mati macam mana?". Susah soalan tu. Dalam gurau aku pun jawab, aku nak mati dalam iman la. Kalaulah kita boleh memilih dan mengatur akhir hidup kita sendiri, macam kita pilih dan atur jalan hidup kita sekarang, mudah sangatlah hidup ni rasanya kan. Biarlah tu menjadi rahsia Allah. Semoga akhir hidup kita semua nanti husnul khatimah.

Penghormatan terakhir yang kita beri kepada seseorang yang meninggal dunia tu adakalanya boleh jadi penghormatan pertama yang diterima oleh si mati sepanjang hidupnya. Itu pengajaran berguna yang aku dapat hari ini. Bagaimana pulalah akhir hidup aku nanti..

Hidupnya Insan - Hijjaz

Saturday, 3 September 2011

Cerita Raya Aku

Kesesakan di Tambak Johor

Salam Aidilfitri..

Alhamdulillah, berlalu sudah Ramadhan yang mulia, yang pasti dirindui. Alhamdulillah, dapat juga aku sama-sama bertakbir dan bertahlil bersama keluarga di malam  raya. Tahun ni banyak perubahan tradisi raya bagi keluarga aku. Gara-gara adik bekerja raya pertama, raya kami banyak habis di jalan raya, berkejar-kejaran mengejar masa. Tahlil yang biasanya dibuat lepas solat sunat raya, diawalkan ke malam raya. Bersalam-salaman bersama keluarga pun dibuat sekali lepas tu. Saat orang bergaya sakan ke masjid untuk solat sunat raya, kami sekeluarga memulakan perjalanan balik ke KL kerana adik kerja shift petang hari tu.

Sampai je KL, dah ada yang menelefon nak datang ke rumah. Tak putus-putus pula yang datang sampai ke tengah malam. Mujur kuih dah sempat susun dalam bekas dan bawa balik juadah raya dari Singapura. Ada jugalah benda yang nak dihidangkan. Tapi sempat juga buat soto malam tu. Raya kedua aku surrender, terasa sakit seluruh badan. Nasib baik Fiza nak ambik order catering last minute dari aku. Abah dan Mama antara  saudara tua dalam keluarga. Maka ramai la yang datang berziarah.

Raya ketiga giliran kami pula mencari saudara-saudara tua dan ke rumah adik-beradik Abah. Tahan je la telinga ni dengar Mak Long membebel sebab raya ketiga baru cari dia. Perjalanan seharian KL-Melaka-Seremban-Klang-PJ-KL akhirnya membawa padah juga buat aku malam semalam. Elok nak keluar dari kereta, terasa gelap pandangan, lemah kaki. Pengsan juga aku sudahnya. Kena tahan di Wad Kecemasan, masuk air 2 botol. Pukul 5 pagi baru doktor bagi pulang. Mama dah menangis semahu-mahunya. Mujur la adik sempat 'kawtim' dengan doktor, maka Mama cuma diberitahu aku jadi begitu kerana terlampau penat dan kurang tidur (bukan bohong dia, cuma tak beritahu semua). Syukurlah, benda tak jadi lebih teruk. Nampak gayanya kena juga cari masa yang sesuai nanti untuk berterus-terang. 

Petua daripada Ustaz Hassan, mengikut amalan ulama silam terutama ulama hikmah, pegang ubun-ubun orang yang pengsan dengan kedua-dua tangan kita. Bacakan Bismillahirrahmanirrohim 41 kali, tidak terlampau laju atau lambat dan tidak terlalu nyaring atau perlahan. Tapi sebelum tu kena buat juga la first aid yang sepatutnya : Letakkan orang yang pengsan tu dalam keadaan selesa (jangan kerumun dia), tinggikan bahagian kaki (alas dengan apa-apa), longgarkan sikit bajunya, check pernafasan (rasa kat dada, kalau tak ada kena buat CPR), pastu check pulak nadi (normal ke tak, kurang 70/minit maknanya jantung lemah, lebih 90 maknanya pitam biasa sebab penat dan sebagainya) dan sapukan air kat muka supaya sedar sambil dibacakan kalimah basmallah tadi. Agak-agak tak yakin, call jelah ambulance. Kita tak tau bila kita akan berdepan keadaan macam ni kan..

Esok keluarga sebelah Abah pula bertandang ke rumah (kecuali Mak Long yang masih marah kat kami). Sempat juga lari sekejap petang tadi menjenguk ayah kawan aku yang koma di Hospital Selayang. Nampaknya raya tahun ni paling memenatkan. Atau kerana badan aku yang tak sekuat dulu. Tapi aku tetap bersyukur kerana entah kenapa, kali ni aku dapat jumpa semua saudara-mara  dan kawan-kawan rapat Abah walaupun ada yang sekadar terserempak di masjid dan R&R. Mudah sungguh Allah temukan kami dengan mereka semua.Oleh kerana kali ni adik yang jadi driver, dapatlah aku tunjukkan jalan ke rumah-rumah mereka padanya. Lepas ni 'tetap dan berpencen' dia menjadi supir keluarga, kerana doktor tak bagi aku memandu lagi.

Alhamdulillah, walaupun Ramadhan dan Syawal kali ni penuh dengan airmata, aku juga sebenarnya sangat-sangat gembira kerana masih diberi waktu dan ruang untuk meraikannya bersama orang-orang yang aku sayang. Dapat mimpi Abah malam raya juga satu hasrat yang Allah sentiasa kabulkan untuk hamba-Nya yang sentiasa mengharap ni. Mungkin pada orang lain itu cuma mainan tidur. Tapi bagi aku, itulah nikmat Syawal dan rindu yang tak sudah dari seorang anak. Kalau sekali mungkin kebetulan. Tapi kalau dah setiap kali malam raya Abah datang dalam mimpi walaupun sekejap, itulah cantik kerja Tuhan namanya..

Isnin dah mula sekolah. Rindu kat kawan-kawan. Semoga semuanya dapat balik semula ke KL dengan selamat. Penuh dah hujung-hujung minggu akan datang ni dengan jemputan rumah terbuka. Rasanya tak dapat pergi semua dan berlama-lama di tempat yang ramai orang atas nasihat doktor. Maafkan aku kalau banyak jemputan yang tak dapat dipenuhi nanti.

Rasanya semua checklist Ramadhan dan Syawal dah aku tunaikan, kecuali satu perkara. Kena cari masa yang sesuai untuk ke Gemas mencari seseorang. Semoga Allah permudahkan urusanku yang satu ini dan semoga aku diberi kesihatan yang baik untuk mencari mereka dan juga kekuatan hati untuk bertemu mereka.

Begitulah cerita raya aku. Terima kasih kepada semua yang membuatkan Ramadhan dan Syawal tahun ini sangat indah buat aku..